Ulasan buku: Projek Orkid: Masih Ada Yang Sayang

Ulasan oleh Puan Ana Reads

Judul: Projek Orkid: Masih Ada Yang Sayang
Penyelenggara: Norsa’adah Ahmad & Noor Hayati Yasmin
Penerbit: Dua Penulis PLT
Tebal: 285 muka surat
Tahun: 2020
Harga: RM29

 

Tidak tergambar perasaan semasa membaca buku ini. Tipu kalau aku kata aku tak rasa stres bila baca kisah-kisah di dalam buku ini. Geram, nak marah, semua ada. Belum lagi kisah yang berjaya membuatkan aku menitis air mata. Sampai sukar untuk melelapkan mata di waktu malam selepas selesai membacanya dek terlalu memikirkan dan simpati dengan tekanan yang dihadapi pesakit. Patutlah di awal buku ini terdapat amaran yang tidak menggalakkan buku ini dibaca oleh mereka yang mempunyai masalah berkaitan penyakit mental ataupun berisiko untuk terkesan dengannya.

Kulit buku yang berwarna putih, tajuk buku dan simbol reben berwarna hijau adalah punca aku tertarik dengan buku ini. Mengapa orkid yang dipilih untuk buku ini? Kerana ia melambangkan kekuatan dan ketabahan jiwa. Reben berwarna hijau pula adalah simbol dalam kempen kesedaran penyakit mental.

Ditulis oleh para pemandiri (survivor) penyakit mental, perawat dan ahli keluarga pesakit. Sebanyak 18 kisah yang dimuatkan di dalam buku ini. Pelbagai penyakit mental yang dimuatkan seperti Bipolar Disorder, Anxiety Disorder (keresahan), Depression (kemurungan), Skizofrenia dan lain-lain lagi.

Tujuan buku ini diterbitkan adalah bagi memperluaskan lagi kesedaran masyarakat awam terhadap penyakit mental dan mewujudkan empati selain simpati terhadap golongan ini. Selain itu, bagi pembaca yang menyedari bahawa mereka memiliki simptom yang mungkin berkait dengan kesihatan mental, hendaklah segera mendapatkan bantuan daripada pihak profesional. Senarai agensi kerajaan dan NGO yang terlibat turut disertakan di bahagian akhir buku ini sebagai rujukan.

Ayat yang paling aku terkesan adalah:
“Ada ketika kita harus berundur supaya tidak hancur”, Amalina sahabat Birha (Burnout). Ya, ada masa kita perlu menyedari had kemampuan diri kita sendiri dan tidak terus memaksa diri melakukan sesuatu yang di luar batas kemampuan kita.

Aku belajar satu istilah baru dalam dunia kesihatan mental. Burnout adalah satu keadaan di mana pesakit mengalami emosi dan mental yang tidak stabil, fizikal yang terlalu keletihan kerana berada di bawah tekanan yang berlebihan dan berpanjangan. Ianya boleh dirawat dan tidak kritikal seperti penyakit mental yang lain.

Tamat pembacaan, apa yang dapat aku simpulkan adalah:
1. Jika anda ada simptom penyakit mental, jangan ambil mudah. Segera rujuk kepada pakar.
2. Jangan sesekali cuba self-diagnos penyakit anda dengan hanya membaca simptom di internet.
3. Keluarga, sahabat dan orang paling rapat dengan pesakit sangat memainkan peranan penting bagi memudahkan dan meningkatkan peratusan peluang pesakit untuk sembuh.
4. Ketahuilah wahai pembaca sekalian, penyakit mental ini adalah suatu penyakit yang berada di luar kawalan pesakit. Tidak mudah untuk mereka bangkit dan melawan penyakit ini begitu sahaja. Mereka amat perlukan bantuan dan sokongan kita. Jangan mudah melabel mereka tidak kuat iman, lemah semangat dan lain-lain.

Di akhir buku ini, turut disertakan artikel oleh pengamal psikologis dan doktor pakar psikiatris. Ianya sangat penting dibaca oleh pesakit dan juga orang awam. Ayuh, kita baca buku ini dan sebarkan ilmu yang kita dapat melaluinya.


Leave a comment

Please note, comments must be approved before they are published