Ulasan Buku: Misi Menjadi Minimalis

Ulasan oleh Puan Emmy Hermina Nathasia

Saya mula berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang konsep minimalis pada tahun 2018.

Namun disebabkan ledakan populariti konsep minimalis yang dibawa Marie Kondo dengan Konmari, Fumio Sasaki dengan Goodbye, Things dan Ken Mogi dengan Ikigai, saya jadi tawar hati untuk terjun sama seperti orang lain.

Sebaliknya, saya terjumpa buku The Year of Less: How I Stopped Shopping, Gave Away My Belongings, and Discovered Life Is Worth More Than Anything You Can Buy in a Store tulisan Cait Flanders, yang saya sifatkan sebagai berterus-terang dan jujur.

Bahawa perubahan ke arah 'kurang' (atau secukupnya) ialah sukar dalam dunia yang mana menarik kita untuk bersifat berlebihan; cukup sekadar tudung RM10 namun kita teringin tudung berharga RM300, sebagai contohnya.

Perkara utama yang saya bawa dan amalkan hingga ke hari ini hasil bacaan buku Flanders ialah cara mengawal perbelanjaan, untuk mengenali sama ada sesuatu pembelian itu ialah kehendak atau kemahuan semata-mata. Adakah pembelian dilambung oleh ego atau sememangnya ia berkualiti.

Seperti buku Flanders, saya terjumpa buku Misi Menjadi Minimalis secara kebetulan menerusi hantaran yang dikongsi oleh seorang rakan FB, Puan 

.

Saya tuju ke laman web duapenulis dan selepas membaca ringkasan mengenai buku ini, saya terus beli melalui laman web.

Penulis merupakan orang biasa yang juga ingin mengubah cara hidup untuk menjadi minimalis, dan sering mengikuti artikel blog dan perkongsian beberapa penulis minimalis seperti Joshua Becker.

Hasil daripada itu, penulis cuba menjalankan kehidupan mengikut tip dan kaedah yang disarankan dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuklah pengurusan kewangan.

Buku ini terhasil kerana didapati tiada buku mengenai konsep ini dalam bahasa Malaysia. Menyedari terdapatnya keperluan, penulis mengusahakan penerbitan buku ini bersandar kepada tip dan kaedah yang dikongsi oleh penulis konsep ini dan pengalaman peribadi penulis.

Buku ini amat sesuai untuk mereka yang mahu mengetahui tentang konsep minimalis yang dipersembahkan dalam gaya penulisan santai dan disertai tip praktikal untuk dilakukan. Ia sesuai dibaca oleh mereka yang tidak pernah tahu mengenai konsep minimalis atau yang mempunyai sedikit pengetahuan mengenainya, namun berminat untuk mengetahui lebih lanjut.

Buku dalam bahasa Malaysia ini sememangnya diperlukan agar ilmu yang asalnya daripada bahasa Inggeris dan bahasa Jepun dapat tersebar luas ke masyarakat kita.

Rating saya: ⭐⭐⭐⭐

 

Hantaran asal diterbitkan di FB Puan Emmy. Terima kasih atas ulasan ini.


Leave a comment

Please note, comments must be approved before they are published