Projek Mawar - Mencari Sinar Bahagia

Hampir enam tahun di Likas, saya menjaga bahagian One Stop Crisis Centre (OSCC) untuk bahagian pantai barat Sabah. Di samping hospital sendiri, kami menjadi rujukan untuk dua hospital di Kota Kinabalu dan 10 buah hospital daerah. 

Bila disebut OSCC, ianya meliputi kes rogol, kes cabul, kes liwat, penderaan kanak-kanak seksual dan fizikal, pengabaian kanak-kanak dan keganasan rumahtangga. 

Pelbagai kes yang ditemui menyebabkan saya sedar bahawa dunia ini memang tidak indah. Keadilan itu hanya di akhirat kelak. 

Ada masanya seperti hendak mengamuk dan mahu terbalikkan meja ketika menghadiri mesyuarat OSCC yang diadakan bersama pihak pendakwaraya, pihak polis dan Jabatan kebajikan masyarakat. 

Kenapa mahu jadi Hulk Hogan? Bila mana saya mendengar kes-kes yang seperti tidak masuk akal tapi rupanya berlaku di mana-mana. Kes-kes di mana survivor tidak mendapat keadilan yang sepatutnya kerana tidak ada apa yang boleh dilakukan terhadap pelaku. Kes-kes di mana survivor hilang daripada radar. 

Tangan kami terikat. Kami hanya boleh melakukan kerja kami hingga ke takat tertentu. 

Saya masih ingat kata-kata salah seorang rakan sejawat yang terlampau geram, "Habis tu, nak tunggu budak ni jadi perogol bersiri ke baru kita nak ambil tindakan?"

Tidak ada sesiapa yang menjawab soalannya ketika itu. Senyap. Suasana hening. 

Kita juga selalu membaca di media sosial dan akhbar serta mendengar berita di televisyen akan kes-kes OSCC. Tak pernah putus. Sentiasa ada. 

Berapa ramai isteri yang terdera fizikal dan emosi oleh pasangan sendiri?

Berapa ramai anak-anak yang mengalami kesakitan fizikal dan emosi kerana didera oleh orang yang sepatutnya menyayangi mereka?

Kita tidak pernah tahu ada suami yang turut didera tapi malu ke depan kerana stigma masyarakat.

Bertitik-tolak daripada hal ini menyebabkan saya dan sahabat saya dari Dua Penulis ingin mengumumkan projek baru kami iaitu Projek Mawar.

Kami ingin menjemput anda menghantar nukilan anda. Sama ada anda ialah survivor kes penderaan seksual atau menjadi mangsa ketika zaman kanak-kanak. Kami memberi anda platform untuk menceritakan kisah anda. Karya anda boleh disiarkan dengan nama samaran dalam buku ini. 

Peluang juga dibuka kepada mereka yang terlibat dalam pengendalian OSCC seperti staf kesihatan (doktor, jururawat), pegawai yang terlibat dalam bahagian perundangan (contohnya peguam atau pendakwaraya), pegawai polis, pegawai jabatan kebajikan masyarakat dan pihak NGO. 

  1. Karya yang dihasilkan adalah kisah benar, bukannya rekaan semata-mata.
  2. Karya tidak melebihi 2000 patah perkataan.
  3. Anda boleh menghantar penyertaan ke duapenulis@gmail.com
  4. Tarikh tutup: 15 September 2020

Sekiranya anda mempunyai soalan berhubung projek ini, anda boleh menghubungi kami melalui emel duapenulis@gmail.com atau no tel 019-5593436 (Hayati) atau 019-7522108 (Norsa'adah).

* Penulis digalakkan membaca buku yang kami terbitkan seperti Projek Lavender dan Projek Orkid untuk melihat penulisan yang bagus.


Leave a comment

Please note, comments must be approved before they are published