Bermula Dengan Perpustakaan

Saya menaiki dua anak tangga untuk masuk ke perpustakaan bergerak. Bagi kanak-kanak yang berusia 7 tahun, ia keterujaan yang baru apabila melihat buku yang bersusun di dalam sebuah bas. Pada masa itu, saya pinjam beberapa buah buku yang nipis. Mungkin ia salah satu siri Nancy Drews atau Enid Blyton.

Kenangan itu yang singgah dalam fikiran saya apabila saya berdiri di hadapan sebuah 'Mini Library' yang terletak tidak bergerak di hadapan dewan besar Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru. Tayarnya sudah dicabut. Ia diganti dengan penyokong besi berkaki tiga. Saya tidak pasti masih ada buku di dalamnya atau tidak.

Perpustakaan tempat anak-anak di sekolah mengenal buku. Jatuh hati pada buku. Datang minat untuk membaca. Zaman sudah berubah. Anak-anak terdedah dengan media sosial yang interaktif seperti You Tube dan Instagram.

Namun, ia tidak menenggelamkan buku. Manakan sama huruf yang bercetak dan dapat kita pegang dalam bentuk fizikal dengan pelbagai lagi sumber dalam internet. Selagi manusia perlukan ilmu, buku akan tetap menjadi sumber yang penting.

Tokoh tersohor dunia seperti ulama dan ahli falsafah dapat menyampaikan mesej mereka kerana catatan yang dibuat dalam buku. Dapat disampaikan kepada umat manusia sehingga hari ini.

Itulah nilai buku. Projek tajaan buku ke perpustakaan adalah projek pertama kami. Banyak sekolah yang memohon dari seluruh negara. Ada nama daerah yang saya tidak pernah dengar. Ada sekolah yang mempunyai bilangan murid kurang 100 orang. Betapa mereka dahagakan sumber ilmu.

Sebolehnya kami ingin edarkan buku kepada semua sekolah yang memohon. Oleh itu, kami berusaha mengumpul tajaan. Ramai rakan yang sudah menyokong. Saya ambil inspirasi daripada pengasas Room To Read, Mr John Wood.

Beliau pergi ke Nepal dan melihat keperluan untuk mengumpulkan buku dan membina perpustakaan. Beliau menghantar e-mel kepada rakan dan kenalan bagi berkongsi idea ini dan memohon tajaan.

Semua ini dibuat tanpa meletakkan jangkaan yang tinggi. Tidak lama selepas itu, beliau mendapat panggilan daripada bapanya dan meminta beliau pulang. Berkotak-kotak buku sudah tiba di rumah. Sejak itu, beliau sudah membuka beribu-ribu perpustakaan di negara dunia ketiga.

Kami juga tidak meletakkan jangkaan yang tinggi. Kami ada sasaran. Fokus kami sebagai orang tengah adalah berusaha mengumpulkan tajaan. Dan menyampaikan tajaan buku ke sekolah yang memerlukan.

Tajaan setakat ini: 25/300

Batch pertama dihantar pada 19 Januari 2017.

Bagi yang berminat untuk menaja buku boleh klik di sini. Kami akan hantar buku yang ditaja ke salah sebuah sekolah dalam senarai kami.


Leave a comment

Please note, comments must be approved before they are published